Friday, October 28, 2022

Konvensyen Kebangsaan Program Transformasi Sekolah 2025 Kali Ke-3

 TRUST & INSPIRE


Dato' Hj Pkharuddin bin Hj Ghazali

26 Oktober 2022

Konvensyen Kebangsaan Program Transformasi Sekolah 2025 Kali Ke-3 Tahun 2022 di Hotel Ixora, Pulau Pinang 


Pemimpin yang luar biasa bukan sekadar memberi arahan, tetapi mampu mempengaruhi orang lain untuk terlibat dalam melaksanakan perubahan.  Stephen M.R. Covey dalam bukunya yang bertajuk Trust & Inspire, membicarakan tentang perubahan kepimpinan yang diperlukan dengan kemunculan 5 pengaruh baharu. Pengaruh baharu yang dimaksudkan berkaitan:

a. sifat dunia disebabkan perkembangan teknologi;

b. sifat kerja yang berasaskan pengetahuan, kolaboratif, inovatif dan kreatif;

c. keadaan tempat kerja secara maya, hibrid atau bersemuka;

d. sifat tenaga kerja yang merentasi generasi dan sempadan negara;

e. sifat pilihan disebabkan peluang pekerjaan yang pelbagai.


Sehubungan dengan itu, perubahan kepimpinan yang diperlukan ialah dari yang bersifat COMMAND & CONTROL kepada bersifat TRUST & INSPIRE.


Pimpin yang bersifat C&C biasanya akan menggunakan kedudukan dan kuasa yang ada dalam memimpin dan mengawal organisasi. Manakala pemimpin bersifat T&I pula sentiasa memupuk kerjasama dengan semua ahli dalam organisasi kerana menganggap mereka mempunyai potensi yang tinggi dan pelbagai.


Sebagai pemimpin, kita dihormati bukan kerana jawatan kita tetapi atas sifat kita dipercayai dan mempercayai mereka yang kita pimpin. Dengan sifat saling mempercayai inilah, maka kita akan dianggap sebagai pemimpin yang  menjadi sumber inspirasi. Gaya kepimpinan T&I akan melahirkan pemimpin yang hebat dan menjadi contoh kepada anak buah yang dipimpin.

Sebaliknya, pemimpin yang bersifat C&C pula sentiasa merasakan diri hebat dan kehebatan itu akan hilang apabila tiada lagi jawatan dan kuasa.


Maka wajarlah kita sentiasa mempertingkatkan teras kepimpinan dengan menjadi contoh keperibadian pemimpin yang disegani,   kaedah kepimpinan yang memupuk situasi saling mempercayai dan kepimpinan yang jelas halatujunya sekaligus meningkatkan inspirasi.

No comments:

Post a Comment